header ad

Teksi vs E-hailing. Persaingan tidak adil?



            Baru-baru ini tular di media sosial, persatuan teksi di Kuching dan sekitarnya telah mengadakan perhimpunan untuk memprotes persaingan yang dikatakan tidak adil oleh syarikat-syarikat e-hailing seperti Grabcar dan Uber.

         Pendapatan pemandu-pemandu teksi amat terkesan dengan ketibaan operasi syarikat tersebut. Uber mula beroperasi di Kuching sekitar bulan September 2016, manakala Grabcar sekitar bulan Februari 2017. Isu perselisihan antara pemandu teksi dan syarikat e-hailing ini sudah tidak asing lagi dan telah berlaku di banyak tempat di seluruh dunia.


         Industri teksi sudah amat serasi dengan masyarakat, dan merupakan antara penggerak utama ekonomi. Antara syarikat teksi yang terkenal ialah teksi di bandar London. Walaupun zaman sudah semakin moden, syarikat teksi ini tetap menampilkan teksinya dengan penampilan yang klasik.

        Dalam dekad ini, kita menyaksikan peningkatan pengguna perkhidmatan internet. Ini disebabkan oleh fasiliti yang disediakan memudahkan pencapaian internet ke lebih ramai pengguna walaupun di pedalaman. Seiring dengan internet, kita juga menyaksikan lebih ramai yang mampu memiliki telefon bimbit pintar. Dengan hadirnya banyak pemain baru dalam industri telefon pintar, maka kita dapat menjangka, kos pemilikannya pasti akan menurun, supaya syarikat-syarikat ini dapat bersaing dalam pasaran. Lebih ramai pengguna telefon pintar, maka kita juga dapat melihat banyak inovasi baru muncul terutama  aplikasi telefon.

            Banyak urusan seharian dapat dimudahkan dengan hadirnya pelbagai aplikasi yang inovatif. Daripada berkomunikasi dengan rakan dan keluarga kepada urusan kewangan dan bisnes, banyak urusan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat dengan adanya aplikasi tersebut. Begitu juga dengan industri pengangkutan awam. Syarikat Uber telah menawarkan servis dengan membuat aplikasi di mana pengguna dapat memanggil pemandu dengan menggunakan aplikasi telefon dengan mudah dengan kos tambang yang jauh lebih murah berbanding teksi.

            Di samping itu, syarikat Uber telah membuka peluang pekerjaan besar kepada orang ramai, dengan mendaftar sebagai pemandu syarikat tersebut. Prosedur pendaftarannya amat mudah, tiada birokrasi seperti mendaftar teksi. Semuanya dapat dilakukan atas talian.



             Seperti yang dijangka, Uber telah mengatasi teksi dalam permintaan pelanggan. Lebih ramai yang menggunakan Uber oleh sebab harga tambang yang jauh lebih murah dan kereta yang lebih berkualiti kerana Uber menetapkan kereta yang diguna hendaklah tidak lebih 10 tahun dari tempoh pembuatan. Melihat kejayaan ini, banyak syarikat baharu muncul untuk merebut pasaran hangat tersebut seperti Grab, Lyft, Gojek dan banyak lagi. Oleh sebab ini, hampir semua pemandu teksi hilang sumber pendapatan, walaupun kos yang perlu dikeluarkan untuk teksi tetap sama, bahkan naik. Ini menyebabkan ketidakpuashatian dan pemandu-pemandu teksi mula memprotes kehadiran syarikat e-hailing tersebut.
       
             Adilkah persaingan ini? Dari perspektif pengguna, mereka amat mengalu-alukan kedatangan syarikat e-hailing kerana ia amat memudahkan dan menjimatkan. Terdapat pengguna juga yang mengatakan servis yang diberikan oleh pemandu e-hailing ini lebih baik berbanding teksi. Setiap negara mempunyai undang-undang berbeza. Di Malaysia, pemandu teksi wajib berdaftar melalui birokrasi yang tidak mudah, dengan pelbagai syarat dikenakan. Mendapatkan permit teksi bukan mudah seperti mendaftar Uber. Mereka juga diwajibkan menjalankan pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan 6 bulan sekali di PUSPAKOM, dan pelbagai lagi, semuanya menggunakan duit poket sendiri. Dengan permintaan yang terjejas sekarang, pemandu teksi tetap terpaksa membayar kos-kos tersebut demi sesuap nasi.



             Jadi kenapa pemandu teksi tidak turut serta jadi pemandu e-hailing? Sebelum datangnya syarikat e-hailing ini di Malaysia, sudah wujud aplikasi yang dibuat untuk teksi seperti Grab Taxi. Ianya memudahkan pengguna memanggil teksi, tetapi harga tambang masih sama. Maka aplikasi ini tidak dapat bersaing dengan mudah kerana e-hailing yang menggunakan kereta persendirian ini jauh lebih murah. Kebanyakan pemandu teksi juga dikelilingi hutang untuk pembiayaan teksi mereka. Sukar untuk mereka memohon pembiayaan kereta baharu untuk e-hailing. Mereka inilah yang tersepit dalam kehadiran e-hailing ini. Selain membayar balik pembiayaan teksi mereka, mereka juga ada tanggungan untuk diberi makan dan diberikan hidup yang selesa.

               Apakah yang boleh kita buat untuk membantu pemandu teksi yang terhimpit ini? Kerajaan memainkan peranan yang penting. Jika mereka memberi kelonggaran kepada pemandu e-hailing untuk beroperasi dengan kos operasi/birokrasi yang rendah (permit, insurans, lesen dagang, puspakom atau cukai), maka perkara yang sama patut diberi kepada pemandu teksi. Jika kos tersebut penting demi keselamatan pengguna, maka ia juga patut dikenakan kepada pemandu e-hailing.

             Syarikat e-hailing juga dapat memainkan peranan dalam hal ini. Kami mengalu-alukan inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Grab di mana mereka akan melancarkan pilihan baharu untuk pengguna mereka iaitu JustGrab. Dalam opsyen ini, pengguna dapat memanggil pemandu persendirian dan teksi dalam satu sama, dengan harga yang sama (lebih murah berbanding Grab Taxi). Ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna kerana tempoh menunggu pemandu dapat dipendekkan dengan bertambahnya bilangan pemandu yang bersedia untuk menerima panggilan pengguna tersebut melalui aplikasi. Opsyen ini juga membenarkan pemandu teksi dan pemandu persendirian dapat bersaing dengan lebih adil berbanding sebelumnya.

              Kesimpulan, untuk menjadikan negara kita maju dan berdaya saing di peringkat global, kita tidak dapat ketinggalan dalam melaksanakan ekonomi baharu yang inovatif. Dunia akan sentiasa berubah, maka setiap daripada kita hendaklah bertindak dan bersiap siaga dengan perubahan ini, sentiasa menerima dan lebih baik lagi, mencetus inovasi yang dapat memudahkan kehidupan kita seharian di samping memberikan lebih peluang ekonomi kepada masyarakat. Walaubagaimanapun, kebajikan mereka yang terkesan dengan pertumbuhan ini hendaklah dipandang serius, kerana bilangan mereka bukanlah sedikit. Kerajaan hendaklah menyediakan alternatif yang dapat menyelamatkan mereka daripada terus tersungkur dari segi ekonomi. Saya percaya banyak fasiliti yang telah disediakan kerajaan dan banyak lagi yang boleh dibuat. Jika betul dengan caranya, mereka juga dapat menyumbang kepada negara, memberikan inovasi yang lebih hebat lagi dari sebelumnya.

Penulis: Abdullah bin Mohammad
Admin Borneo Auto4U
Like page kami di fb.com/borneoauto4u

Catat Ulasan

0 Ulasan