header ad

Perbezaan Perodua Aruz vs Toyota Rush

                 
          SUV, sekarang kita lihat segmen kereta ini semakin mendapat populariti dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bahkan kita juga dapat melihat bukan sahaja Malaysia tetapi ia juga semakin mendapat permintaan dalam pasaran global. 

             Pengeluar kereta prestasi tinggi seperti Lamborghini juga tidak mahu ketinggalan dengan mengeluarkan model SUV pertama mereka, iaitu Lamborghini Urus. 

        Selesai pembuka kata, jum balik ke pasaran tempatan kita. Perodua, jenama terlajak laris pengeluar kereta, tampil dengan memperkenalkan produk terbaharu mereka, iaitu Perodua Aruz (nama nak dekat sama Lamborghini Urus kan? suratan atau kebetulan?).

         Perodua mengulangi pelan bisnes sebelum ini di mana model Perodua Nautica sebelum ini merupakan versi tukar logo atau rebadge daripada model Toyota Rush tetapi dengan sedikit keinsafan. Model Nautica sebelum ini tidak mendapat sambutan kerana harganya yang dikatakan tidak mampu milik. 

         Perodua Aruz kali ini yang juga diadaptasi daripada Toyota Rush dijual jauh lebih murah (sekitar RM 20 ribu bezanya) supaya diharapkan model ini akan mendapat lebih sambutan.


Rush ketika majlis pelancaran

           Apakah perbezaan antara keduanya? mari kita lihat. Toyota Rush dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2018 dihadiri dengan dua varian, 1.5G dan 1.5S. Perodua Aruz pula dilancarkan pertengahan Januari 2019, juga dua varian, 1.5X dan 1.5AV. 

         Untuk pengetahuan anda, Perodua Aruz dan Toyota Rush dihasilkan di kilang yang sama, iaitu kilang Perodua di Rawang, Selangor. Manakala enjin dan transmisi kedua-duanya ialah daripada jenis yang sama (enjin 1.5L 2NR-VE dwi VVT-i & transmisi auto 4 kelajuan) dan dihasilkan di kilang Perodua di Sendayang, Negeri Sembilan. 

           Enjin tersebut mampu menghasilkan 101 kuasa kuda pada 6000 rpm dan 133 Nm tork pada 4200 rpm. Perodua Aruz dan Toyota Rush kedua-duanya menggunakan pemanduan tayar belakang (RWD).


Gambar pelancaran Perodua Aruz

Rekabentuk luaran

           Pada pandang pertama, yang boleh kita lihat ialah rekabentuk Toyota Rush kelihatan lebih agresif, manakala Perodua Aruz mengambil pendekatan yang lebih elegen tetapi masih sporty. 

            Perbezaan yang ketara ialah pada bahagian lampu kabus, bumper hadapan, bumper belakang dan juga skirting tepi di mana rekabentuk untuk model Rush lebih agresif. Toyota memberi nama khas untuk rekabentuk Rush mereka, iaitu "Advanced R-Blade design". 

            Kedua-dua model ini menggunakan lampu pantulan LED (lampu putih) dan rim 17 inci. rekabentuk rim nya hampir sama dengan Rush kelihatan sedikit agresif.

 
Perodua Aruz


Toyota Rush


Rekabentuk dalaman

            Terdapat perbezaan ketara untuk rekabentuk papan pemuka antara Aruz dan Rush. Varian AV Aruz mempunyai kemasan berwarna perak yang melintang daripada tepi dan menegak di sekitar skrin 7 incinya. Lapisan yang mengemasi sekitar skrin dan kawalan penyejuk udara menggunakan kemasan hitam piano. 

            Varian X Aruz pula tidak ada kemasan perak dan hitam piano tersebut, tetapi hanya menggunakan warna hitam material pada seluruh papan pemuka. Kawalan penyejuk udara Aruz menggunakan rekabentuk yang sama seperti model Myvi, di mana ia menggunakan butang dan pemapar elektronik. 

            Pada papan pemuka Toyota Rush, Ia menggunakan kemasan kulit bewarna krim keperangan pada bahagian bawah dan sedikit pada pintu, manakala kemasan berwarna hitam material pada bahagian atas. Ia mempunyai 6.8 inci paparan LCD. Rekabentuk stereng, speedometer dan saluran penyejuk udara untuk Aruz dan Rush kedua-duanya adalah sama.

 
Atas: Perodua Aruz
Bawah: Toyota Rush


           Rekabentuk tempat duduk untuk Aruz dan Rush hampir sama, dengan fleksibiliti yang sama. Lapisan kulit diberikan untuk varian yang lebih tinggi manakala lapisan fabrik untuk varian yang lebih rendah. 

Aksesori
       
        Perodua Aruz dilengkapi dengan paparan LCD 7 inci untuk kedua-dua varian X dan AV disertakan dengan kamera mengundur. Varian X tidak disertakan dengan GPS dan kamera rakaman (DVR) sepertimana varian AV. Toyota Rush pula dilengkapi dengan LCD 6.8 inci. 

         Varian G dan yang lebih tinggi, S dilengkapi dengan kamera mengundur dan juga kamera panorama. Kedua-dua varian Rush dilengkapi dengan 4 kamera semuanya yang dapat menjana paparan 3D sekeliling kereta tersebut pada paparan LCD. Kamera rakaman juga diberikan pada kedua-dua varian Rush. 

Keselamatan

         Kedua-dua model ini tidak berkompromi dari segi keselamatan asas. Perodua Aruz dan Toyota Rush diberikan 5 bintang penuh untuk ujian keselamatan Asean NCAP. 

         Kedua-duanya mempunyai 6 beg udara, sistem ABS, EBD, HSA, TC dan ESC diberikan sebagai standard. Aruz AV diberikan sistem Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 yang tidak terdapat pada varian X. 
  
        Toyota Rush diberikan lebih banyak ciri keselamatan berbanding Perodua Aruz. Rush juga mempunyai sistem ASA sama seperti Aruz sebagai standard. 

          Ia juga dilengkapi dengan Blind spot monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan juga Panoramic View Monitor (PVM). Toyota juga memberi nama khas untuk kumpulan ciri keselamatan ini, iaitu SAFE-T PLUS. 


Toyota Rush Safe-T Plus

Harga

       Dengan sedikit kelebihan yang dimiliki Toyota Rush, Perodua Aruz dijual jauh lebih murah. Berikut merupakan harga jualan model tersebut (belum termasuk insurans).


HARGA (RM) / MODEL
PERODUA  ARUZ X
PERODUA  ARUZ AV
Semenanjung
72,900
77,900
Sabah Sarawak
74,900
79,900
Langkawi
N/A
N/A
Labuan
N/A
N/A
HARGA (RM) / MODEL
TOYOTA
RUSH G
TOYOTA RUSH S
Semenanjung
93,000
98,000
Sabah Sarawak
96,000
101,000
Langkawi
82,000
87,000
Labuan
84,000
89,000
















             Apa pendapat anda tentang perbandingan antara kedua-dua model tersebut? Jemput komen di bawah dan jangan lupa like FB Page kami untuk artikel-artikel menarik dunia automotif.

Catat Ulasan

0 Ulasan