Khabar angin mengatakan Perodua bakal melancarkan model SUV pada tahun hadapan. Dengan kehadiran Proton X50 yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat, Perodua tidak mahu ketinggalan untuk masuk ke dalam pasaran mini SUV yang semakin popular.
Baru-baru ini Toyota telah melancarkan model terbaharu mereka di Jepun iaitu Toyota Raize. Ia didedahkan kepada umum kira-kira sebulan selepas Daihatsu New Compact SUV ditunjukkan pertama kali sempena Tokyo Motor Show 2019.
Kedua-duanya berasaskan model yang sama, dan hanya Toyota Raize yang telah diberikan nama rasmi dan diberikan informasi berkenaan spesifikasi kenderaan tersebut. Model Toyota tersebut mula dijual di pasaran Jepun bermula 5 November, 2019.
Bagi yang belum tahu, Perodua dimiliki secara bersama oleh syarikat daripada Malaysia dan Jepun. UMW Holdings dari Malaysia memiliki 38% saham Perodua manakala Daihatsu Motor Co. memiliki 35% kepentingan. Selebihnya dimiliki PNB dan syarikat-syarikat lain. Daihatsu Motor Co. pula dimiliki secara majoriti oleh syarikat Toyota.
Pelancaran Toyota Raize dan Daihatsu SUV memberikan isyarat, kemungkinan besar ia akan dibawa masuk oleh Perodua untuk pasaran Malaysia. Ditambah pula dengan video yang tersebar baru-baru ini, iaitu Perodua sedang menguji model SUV di atas jalan.
Spesifikasi Toyota Raize
Ia dikuasakan oleh enjin 1.0L Turbo 1KR-VET 3 silinder, yang mampu menghasilkan sehingga 97 kuasa kuda pada 6000 rpm. Untuk perbandingan, Perodua Bezza 1.3L mempunyai kuasa kuda sehingga 94 bhp. Ia menggunakan transmisi continous variable transmission (CVT) dan mempunyai pilihan pemanduan tayar hadapan (2WD) dan pemanduan empat tayar (4WD). Tayar berukuran 17 inci menambahkan lagi penampilan ke-SUV-an model ini.
Berkenaan penjimatan minyak, Toyota mengatakan ia mampu pergi sejauh 18.6 km untuk setiap liter bagi versi 2WD dan 17.4km seliter untuk 4WD dalam ujian WLTC.
Model tersebut mempunyai ukuran panjang 3,995 mm dan lebar 1,695 mm dengan keluasan bonet 369 liter. Ia menampilkan rekaan dalaman yang terkini dan kelihatan mewah dengan skrin hiburan besar 9 inci dan meter kelajuan yang menggunakan paparan LED.
Ia juga mempunyai pembantu pemanduan terkini seperti Adaptive Cruise Control with All Speed Tracking dan Smart Panorama Parking Assist. Ia juga mempunyai penderia seperti Advance Safety Assist yang terdapat pada model Perodua.
Di Jepun, ia dijual pada harga bermula dari 1,479,000 Yen (RM 64,425.38) sehingga 2,282,200 Yen (RM 87,563.26). Apa pendapat anda tentang model baharu ini? Berikan komen anda di bawah.
0 Ulasan