Bagi yang sudah menggunakan kereta bertahun-tahun lamanya tanpa pernah menuntut insuran, maka anda antara orang yang bernasib baik.
Tetapi tidak semua begitu, malang tidak berbau. Walaupun kita sudah membawa kereta dengan sehabis cermat, ada juga yang ditimpa kemalangan akibat kelalaian orang lain.
Dipendekkan cerita, ketika anda menuntut insuran untuk membaik pulih kereta, anda mungkin tidak dapat menuntut sepenuhnya jumlah kos baik pulih dan dikehendaki membayar sejumlah wang untuk caj betterment.
Apakah yang dimaksudkan dengan betterment? Betterment yang bermaksud 'lebih baik' dalam konteks insuran kenderaan ialah kos yang ditanggung oleh penuntut untuk perbezaan kos penggantian komponen lama kepada komponen baharu.
Contohnya, bumper belakang kereta telah dilanggar dan tidak dapat dibaiki semula kerana ada bahagian yang sudah pecah. Maka keseluruhan bumper tersebut kena ditukar dan digantikan dengan bumper baharu. Apabila membuat tuntutan, akan ada caj tambahan kerana nilai bumper baharu tidak sama dengan bumper terpakai. Perbezaan harga inilah yang dinamakan sebagai betterment.
Jika bumper tersebut hanya tercalar, maka kos betterment tidak akan dikenakan. Ini adalah kerana komponen yang sama masih digunakan dan tidak diganti dengan yang baru.
Walaupun dalam sesuatu kemalangan anda bukan di pihak yang bersalah, anda tidak dapat menuntut kos bettermen daripada pihak yang melanggar. Ini kerana anda yang akan mendapat manfaat daripada penggantian komponen baharu.
Caj betterment hanya dikenakan untuk kereta yang berumur 5 tahun dan ke atas. Di bawah adalah jadual yang menunjukkan umur kereta dan kadar peratus kos yang perlu ditanggung untuk umur yang berlainan.
Undang-undang ini ditetapkan dan digunapakai oleh semua syarikat insurans dan takaful di bawah Persatuan Insuran Am Malaysia (PIAM) dan Malaysia Takaful Association (MTA).
Kenapa kos betterment diwujudkan? Selain untuk pengurusan risiko syarikat insurans, ia membantu untuk mencegah perbuatan merosakkan komponen kereta dengan sengaja, dan menggunakan tuntutan insuran untuk menukar kepada komponen baharu.
Bagi yang mahu mengelakkan kos betterment ini, ada caranya. Anda boleh menambah pelan 'waiver' betterment pada insuran kenderaan anda dengan kos tambahan premium yang tertentu. Selain itu, anda juga boleh meminta untuk menukar komponen yang rosak dengan komponen terpakai, bukan komponen baharu, untuk mengelakkan kos bettermen dikenakan kepada anda.
Anda ada pengalaman berkenaan penuntutan insuran dan mempunyai info menarik untuk dikongsi? Tulis di ruangan komen di bawah
0 Ulasan