Perodua secara rasminya telah membuka tempahan untuk model terbaharu mereka yang ditunggu-tunggu, iaitu Perodua Ativa. Seperti yang telah disebut dalam artikel kami sebelum ini, model tersebut didatangkan dengan tiga pilihan varian, iaitu varian X, H dan AV.
Perodua Ativa merupakan model yang diasaskan daripada model yang telah berada di pasaran Jepun, iaitu Toyota Raize dan Daihatsu Rocky.
Daripada info yang telah kami terima setakat ini, kami ingin berkongsi kepada anda persamaan dan perbezaan antara varian-varian Perodua Ativa.
Persamaan
Kesemua varian Perodua Ativa dikuasakan oleh enjin 1KR-VET, iaitu salah satu daripada enjin Toyota KR. Ianya sama seperti enjin yang digunakan Perodua Axia kini iaitu 1KR-VE, kecuali enjin 1KR-VET diberikan kuasa tambahan melalui Turbo.
Enjin Ativa ini mempunyai 3 silinder dan berkapasiti 996 cc, boleh menjana sehingga 97 bhp dan 140 Nm tork. (Enjin Axia menjana 67 bhp dan 91 Nm tork) Semua varian Ativa mempunyai pemanduan tayar hadapan (FWD) dan menggunakan kotak gear D-CVT.
D-CVT atau singkatan untuk Direct Shift - Continous Variable Transmission merupakan teknologi kotak gear terkini yang diperkenalkan oleh Toyota untuk memaksimumkan respon kuasa enjin dan ekonomi minyak. Ia menggunakan kombinasi sistem belting CVT dengan gear tradisional.
Dari segi saiz, Perodua Ativa ini mempunyai panjang 3,995 mm, kelebaran 1,695 mm dan ketinggian 1,620 mm. Jarak antara pusat roda depan dan belakang pula ialah sebanyak 2,525 mm. Ia dijangka mempunyai berat sekitar 980 kg, bergantung kepada kelengkapan aksesori antara varian.
Perodua Ativa dibangunkan menggunakan platform badan Daihatsu New Global Architecture - A segment (DNGA-A)
Dari segi keselamatan, semua varian dilengkapi dengan ciri asas 6 beg udara, ABS, EBD + BA, VSC, Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill Hold Assist (HSA). Tidak seperti model Perodua sebelum ini, semua model Ativa akan diberikan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA).
Buat pertama kalinya, Perodua memperkenalkan ciri baharu keselamatan untuk model mereka. Semua varian Ativa dilengkapi dengan ciri Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Departure Prevention (LDP). Varian AV diberikan lebih ciri keselamatan yang akan diterangkan di bawah.
Perbezaan
Perodua Ativa X 1.0 Turbo
Varian Ativa paling murah ini diberikan pilihan warna Cobalt Blue, Granite Grey dan Glittering Silver.
- Aksesori
Ia menggunakan lampu jenis LED dan diberikan ciri Auto High Beam (AHB), di mana lampu hadapan akan bertukar kepada lampu tinggi secara automatik apabila tiada kereta di hadapan dan di jalan bertentangan.
Namun begitu, ia tidak disertakan dengan auto headlamp, iaitu ciri di mana lampu menyala secara automatik ketika cahaya persekitaran berkurang seperti ketika malam atau hujan. Lampu kabus tidak disertakan untuk varian ini.
Lampu hadapan varian ini diberikan ciri levelling secara manual, di mana anda boleh menukar ketinggian lampu hadapan sebanyak 5 pilihan, tidak termasuk lampu tinggi (high beam).Varian ini diberikan rim 16 inci 205/65/16, dan memberikan radius belokan yang paling minimum, iaitu 4.9 meter, berbanding varian yang lain.
Cermin sisi boleh ditutup secara elektrik dan juga manual. Ini berguna ketika anda lalu di jalan yang sempit tanpa perlu keluar kereta.
Hanya penggera mengundur disediakan untuk varian ini.
- Dalaman
Ia tidak diberikan skrin sesentuh. Ia diberikan radio dengan butang fizikal, dilengkapi dengan pemain bluetooth dan mp3. Paparan meter masih menggunakan sistem analog.
Sistem suara dilengkapi dengan 4 pembesar suara. Jika anda ingin mengecaj telefon dan ingin memainkan mp3, varian ini diberikan 2 slot untuk USB.
Kerusi jenis semi bucket diberikan untuk tempat duduk hadapan dengan salutan fabrik.
Perodua Ativa H 1.0 Turbo
Warna pilihan yang diberikan untuk varian X juga diberikan untuk varian ini. Selain itu, dengan tambahan RM500, anda boleh memilih warna 'Special Metallic' iaitu Pearl Delima Red dan Pearl Diamond White.
- Aksesori
Varian pertengahan ini diberikan Adaptive Driving Beam (ADB), berbeza dengan ciri AHB untuk varian X. Ciri ini mengekalkan lampu tinggi tetapi mampu mengelakkan kereta bertentangan terkena silau untuk memaksimumkan jarak penglihatan.
Untuk mengetahui perbezaan antara AHB, ADB dan bagaimana kedua-dua ciri tersebut berfungsi, tonton video ini: ADB (Adaptive Driving Beam) - Safety Technology, Toyota Official Global Website
Lampu untuk Ativa H mempunyai ciri auto headlamp, di mana ia akan menyala automatik dalam persekitaran yang gelap. Ia juga diberikan ciri auto levelling, di mana ia akan mengubah ketinggian lampu secara automatik bergantung dengan kecuraman jalan.
Lampu belokan diberikan ciri nyalaan berturutan, yang menambah daya tarikan dan mengikuti tren semasa.
Rim 17 inci 205/60/17 diberikan untuk varian ini, memberikan radius belokan 5.1 meter, sama seperti varian AV.
Seperti varian X, cermin sisi juga dapat ditutup dengan butang. Tetapi ia ada penambahan penutupan secara automatik, iaitu ia akan menutup apabilan enjin dimatikan dan kereta dikunci.
Sensor penggera hadapan dan kamera mengundur disertakan untuk varian ini.
- Dalaman
Sistem infotainmen dilengkapi dengan skrin sesentuh 9 inci yang mempunyai ciri bluetooth, mp3, sistem smartlink untuk android dan juga sistem pengenalan suara. Pertama untuk model Perodua.
Sistem infotainmen ini dilengkapi dengan 4 pembesar suara dan 4 slot USB.
Pertama kali juga untuk model Perodua, ia dilengkapi dengan paparan 7 inci paparan pelbagai info di bahagian meter. Ia 100% membuang paparan analog untuk kelajuan dan
Perodua Ativa AV 1.0 Turbo
Dengan tambahan RM800 daripada harga asas, anda boleh memilih warna yang diberikan hanya untuk varian ini, iaitu 2 tona Pearl Delima Red dan 2 tona Pearl Diamond White. Warna Cobalt Blue tidak diberikan untuk Ativa AV.
- Aksesori
Varian tertinggi Perodua Ativa ini diberikan ciri keselamatan yang lebih lengkap berbanding dua varian yang lain. Ia dipasang dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Control (LKC), Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Ini bermaksud Perodua Ativa AV merupakan model pertama yang diberikan ciri-ciri ini dan yang paling murah dalam pasaran kereta baru Malaysia.
- Dalaman
Kerusi varian ini diberikan balutan kulit dwi tona, iaitu warna hitam dan merah.
Sistem suara model ini juga mempunyai penambahan dua twitter, menjadikan jumlah pembesar suara sebanyak 6 unit.
Sistem rakaman video digital (DVR) disertakan untuk varian ini untuk penambahan ciri keselamatan. Lapisan cermin solar dan sekuriti juga telah siap dipasang untuk pelanggan.
Harga (atas jalan belum termasuk insurans)
Sabah dan Sarawak
Perodua Ativa 1.0 X - RM 64,500
Perodua Ativa 1.0 H - RM 69,300
Perodua Ativa 1.0 H Special Metallic - RM 69,800
Perodua Ativa 1.0 AV - RM 74,600
Perodua Ativa 1.0 AV Special Metallic - RM 75,100
Perodua Ativa 1.0 AV Dua Tona - RM 75,400
Semenanjung
Perodua Ativa 1.0 X - RM 62,500
Perodua Ativa 1.0 H - RM 67,300
Perodua Ativa 1.0 H Special Metallic - RM 67,800
Perodua Ativa 1.0 AV - RM 72,600
Perodua Ativa 1.0 AV Special Metallic - RM 73,100
Perodua Ativa 1.0 AV Dua Tona - RM 73,400
Apa pendapat anda untuk model Perodua Ativa ini? Lontarkan komen anda di bawah.
0 Ulasan