Antara modifikasi pertama yang menjadi sasaran pemilik kereta adalah menukar rim standard kilang kepada yang lebih disukai. Bak kata mereka, tukar kasut bang.
Membeli rim bukan hanya sekadar melihat rekaan kegemaran dan jenama sahaja. Dalam artikel ini saya ingin berkongsi dengan anda maksud bagi setiap parameter rim yang anda perlu tahu sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Contoh dimensi rim: 17"x7.5J 5Hx114.3 ET42
17" - Diameter
Nombor ini merujuk kepada ukuran diameter rim dalam unit inci. Ini merupakan antara ukuran pertama yang biasanya ditanya pembeli. Penting untuk diketahui, ukuran diameter rim ini akan mempengaruhi daya pecutan kereta anda. Semakin besar diameter rim, semakin banyak kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kereta. Pastikan kuasa enjin anda mencukupi jika anda bercadang untuk membeli rim yang besar daripada standard kilang.
7.5 - Lebar
Merujuk kepada ukuran kelebaran rim dalam unit inci. Mereka yang ingin menambah prestasi pemanduan kereta akan memilih rim yang lebih lebar. Ini adalah kerana rim yang lebar akan meningkatkan saiz permukaan yang bersentuhan dengan jalan seterusnya meningkatkan cengkaman kereta anda. Ini akan memberikan lebih prestasi iaitu mampu membelok dengan lebih laju dan memberikan prestasi brek yang lebih cekap.
J - Bebibir
Merujuk kepada bentuk bebibir (flange) rim tersebut. Selain J, jenis bebibir rim yang terdapat di pasaran ialah JJ, K, JK, B, P dan D. Jenis bebibir ini penting kerana ia mempengaruhi pilihan tayar yang akan dipasang di rim tersebut. Jika tidak bersesuaian, akan ada risiko tayar akan tercabut dari rim ketika memandu, dan sudah tentu ini situasi yang bahaya.
5H - Lubang lug
Bermaksud rim tersebut mempunyai lima lubang lug. Bilangan lubang lug lain yang biasa di pasaran ialah 4, 6 dan 8.
114.3 - PCD
Merujuk kepada pitch circle diameter (PCD) dalam unit milimeter. PCD adalah diameter bulatan bayangan di mana garisan bulatan tersebut tepat melalui pertengahan setiap lubang lug. Untuk dua rim yang mempunyai dimensi yang sama, bilangan lubang lug yang sama tetapi PCD yang berbeza, ia tidak akan dapat dipasang pada kereta yang sama.
Di pasaran anda akan selalu jumpa rim yang mempunyai dua PCD sekaligus. Ini membolehkan rim tersebut dipasang pada lebih banyak jenis kereta. Contohnya ada rim yang mempunyai 10 lubang lug, ia sebenarnya mempunyai 5 lubang PCD 114.3 dan 5 lubang PCD 100.
ET42 - Offset
Jarak antara titik pertengahan rim dengan permukaan hub pemasangan dalam unit milimeter. ET merupakan singkatan untuk perkataan german 'Einpresstiefe' yang bermaksud insertion depth. Ia juga digelar sebagai offset.
Offset rim yang tidak betul, rim anda mungkin akan terkena kaliper brek di bahagian dalam, ataupun fender di bahagian luar. Jika anda menukar brek kaliper yang lebih besar, anda mungkin perlu menukar rim yang mempunyai nilai offset yang lebih besar untuk memberi ruang kepada kaliper brek tersebut. Jika terlalu besar, sama anda kena cari rim lain atau memotong fender kereta anda supaya tayar dan rim dapat masuk.
Lubang pusat (center bore)
Ukuran lubang pusat juga penting dalam memilih rim. Ia merujuk kepada ukuran diameter lubang tengah rim dalam unit milimeter. Jika terlalu kecil, rim tersebut tidak akan dapat masuk ke kereta anda. Jika terlalu besar, anda mungkin kena menambah komponen yang digelar spigot ring, supaya pemasangan rim anda betul-betul tegap dan mengurangkan risiko gegaran.
Untuk mengetahui dimensi rim yang sesuai untuk kereta anda, layari laman web https://www.wheel-size.com , yang mempunyai pangkalan data yang banyak untuk ukuran pelbagai jenis kereta.
Sumber gambar:
1. https://www.twt.co.za/wheel-size-guide/
2. https://www.tyresizecalculator.com/wheels/wheel-rim-profiles
3. https://en.wikipedia.org/wiki/Wheel_sizing
4. https://terbarundo.blogspot.com/2020/05/car-fender-modification.html?m=1
0 Ulasan