Semakin kuat ura-ura yang mengatakan bakal munculnya model pengganti kepada model Perodua yang paling ketinggalan yang masih dipasarkan sehingga kini, iaitu Perodua Alza.
Kenapa model ini ketinggalan? Model pertama Perodua Alza dilancarkan pada tahun 2009, pada ketika itu merupakan keluaran pertama kali MPV daripada Perodua. Semenjak pelancarannya, model ini hanya menerima perubahan kecil sahaja, iaitu sedikit perubahan rekabentuk kit badan dan juga papan pemuka.
Enjin, kotak gear masih menggunakan model yang sama walaupun setelah lebih sedekad pelancarannya. Model Alza kini merupakan model yang paling kuat makan minyak iaitu 12.5km untuk setiap liter minyak. Tidak seperti model Perodua lain yang ada sekarang seperti Perodua Axia yang telah menerima status EEV (energy efficient vehicle).
Jadi bila Perodua akan menukar model Alza sekarang kepada model baharu? Banyak sumber mengatakan Alza serba baharu akan dilancarkan di pasaran sekitar penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan (2022).
Antara isyarat yang boleh dilihat adalah pemberian rebat atau diskaun kepada model Alza sekarang. Bermaksud Perodua ingin memastikan model-model Alza sekarang ini terjual habis sebelum model baharu dilancarkan. Mungkin.
Isyarat kedua ialah model-model Perodua selain Alza sekarang semua mempunyai ciri-ciri terkini seperti 'mounting' enjin hidrolik, kuasa stereng elektrik, chasis yang lebih ringan, penggunaan minyak yang efisien yang tidak terdapat pada Perodua Alza. Terutama setelah pelancaran Perodua Ativa, perbandingan dari segi teknologi dengan Perodua Alza seperti langit dengan bumi.
Mahu tidak mahu, Perodua kena memberi pembaharuan total untuk Perodua Alza pada masa terdekat bagi memastikan kesetiaan pelanggan kepada mereka terutama dengan cabaran saingan yang tidak boleh dipandang rendah daripada Proton.
Antara kemungkinan yang boleh terjadi, Perodua Alza 2022 ini akan diasaskan dengan model Toyota Avanza 2022. Autonetmagz, portal automotif popular di Indonesia telah mendapat gambar bocor model terbaharu Toyota ini yang bakal dilancarkan di sana pada masa terdekat.
Dari gambar ini kita dapat lihat Toyota Avanza 2022 untuk pasaran Indonesia ini menerima pembaharuan total. Reka bentuk lampunya menunjukkan rekaan tipikal untuk lampu LED, sama seperti Perodua Ativa sekarang. Gril nya yang besar mepunyai persamaan dengan rekabentuk grill Toyota Corolla Cross.
Gambar dari tepi menunjukkan dimensi Avanza ini lebih besar daripada kini, tetapi masih mengekalkan rekabentuk MPV keluarga, tidak seperti Perodua Aruz yang lebih kepada SUV atau MPV Cross.
Rekabentuk dalaman Toyota Avanza 2022 ini menyerupai Perodua Ativa / Toyota Raize, di mana skrin LED nya terletak di atas lubang penghawa dingin. Konsol tengah Avanza baharu ini memisahkan tempat duduk pemandu dan penumpang, berbeza dengan rekaan Perodua Alza sekarang yang bersambung tempat duduk hadapan.
Butang dalam gambar ini mungkin menunjukkan adanya fungsi brek parkir elektronik, butang tekan mula, dengan pengawalan iklim automatik.
0 Ulasan